PRU15: Hajiji perlu ambil tindakan tegas terhadap Rubin Balang

KOTA KINABALU: Tindakan perlu diambil terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang selepas didapati melanggar syarat perjanjian dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata Ini  berikutan pembabitan Rubin selaku wakil rakyat mesra GRS, dilihat menjadi dalang kepada penyertaan anaknya Riduan Rubin bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen Tenom.

Katanya, Riduan juga disahkan menyerahkan borang keahliannya menyertai ke dalam Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) secara rasmi hari ini.

“Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor perlu bertindak segera serta tidak membiarkan perkara ini berlarutan sehingga mensabotaj Calon BN Jamawi Jaafar di Parlimen Tenom.

“Tindakan Rubin Balang ini itu bertentangan dengan syarat perjanjian GRS-BN selain tidak mencerminkan semangat setiakawan dimeterai di antara kedua-dua gabungan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Bung Moktar berkata, antara tindakan itu termasuk menamatkan pelantikannya sebagai Pengerusi atau mana-mana jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Jangan tunggu lagi, ambil tindakan segera sebagai peringatan kepada semua ahli serta pemimpin GRS-BN agar tidak memandang mudah terhadap kerjasama ini,” katanya.