SIPITANG: Barisan Nasional (BN) Sabah mengakui kerjasamanya membabitkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai paling mantap selain disifatkan ‘platform’ politik yang paling ‘cantik’ di negeri ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata perkara itu berjaya direalisasikan atas kesedaran kedua-dua gabungan untuk membentuk satu pasukan mantap bagi membangunkan Sabah.
Katanya, walaupun bukan mudah untuk menggabungkan kerjasama di antara parti dan pemimpin yang berlainan karektor, semua pihak akhirnya bersetuju untuk bersatu hati dan berkorban demi rakyat negeri ini.
“GRS-BN adalah satu gabungan yang paling mantap dan ‘platform’ yang paling cantik. Betul, bukan senang untuk menggabungkan karektor pemimpin masing-masing.
“Saya dengan karektor saya, Jeffrey (Datuk Dr Jeffrey Kitingan) dengan karektornya, begitu juga Maximus (Datuk Seri Dr Maximus Ongkili), (Datuk) Yong Teck Lee dan Pandikar (Tan Sri Pandikar Amin Mulia) dengan karektor masing-masing.
“Jadi, macam-macam karektor ada, tapi kita korbankan semua itu demi rakyat Sabah,” katanya di sini hari ini.
Bung Moktar berkata, pemimpin di Sabah sebelum ini berpecah bermula dari era kerajaan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) pada 1960-an, diikuti kerajaan Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) pada 1970-an dan 1980-an serta Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 1990-an, diikuti BN selepas itu.
Katanya, perpecahan yang berlaku sebelum ini antara punca Sabah ketinggalan dari segi pembangunan, malah berada di kedudukan tercorot berbanding negeri lain.
“Malu kita, jadi kerana itu rakyat Sabah kena berubah. Sabah berpotensi dibangunkan dengan pelbagai aktiviti ekonomi, pelancongan, sosial, pendidkan dan lain-lain tapi kita kena satu hati.
“Jadi mungkin Tuhan takdirkan, kerana ini bukan satu kebetulan, iaitu Allah takdirkan BN dan GRS bersama-sama dalam satu gabungan yang ramai untuk masa depan Sabah.
“Oleh itu, pada hari mengundi 19 November nanti jangan lagi salah, jangan undi Parti Warisan (WARISAN), WARISAN tidak boleh buat apa-apa sudah. Kita sudah bagi peluang mereka memerintah tetapi dia bukan memerintah untuk rakyat, yang ada hanya dendam kesumat,” katanya.
Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata beliau dan Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor sudah sepakat untuk tidak membangkitkan soal parti dalam kerjasama di antara kedua-dua gabungan.
“Saya kata, kita bercakap mengenai soal masa depan Sabah saja. Alhamdulillah, tiada ‘stress’, tiada ketegangan, tiada cakap Sabah saya punya, Sabah kita punya seperti dilaungkan parti lawan kerana bagi kita Sabah ini kita semua yang punya,” katanya.
Berikutan itu, Bung Moktar yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Kinabatangan, berpesan kepada penyokong BN di Sipitang dan di tempat lain agar membuang keraguan, sebaliknya memberikan undi kepada calon GRS di tempat yang tidak ditandingi BN.
Jelasnya, BN Sabah menyokong semua calon GRS di Sabah dan menurunkan jenteranya membantu calon GRS untuk memastikan kemenangan bersama pada PRU15.
“Tiada keraguan BN terhadap GRS. Jika kita ikhlas, semua Allah akan lindungi kita, jadi hati kita kena bersih. Kalau hati kotor apapun langkah kita pasti tersekat dan terjatuh ke bawah,” katanya.