TAWAU : Taman Sri Titingan di sini meneruskan acara tradisi tahunannya menerusi penganjuran Program Berkhatan Beramai-Ramai sempena cuti sekolah.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk NIzam Abu Bakar Titingan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Apas merasmikan acara tersebut, semalam.
Berucap pada majlis itu, Nizam berkata sejak tahun-tahun sebelum ini, program tersebut sememangnya bermanfaat bagi golongan yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan perkhidmatan berkhatan buat anak mereka.
Katanya, selain salah satu tuntutan dalam menunaikan kewajipan agama, berkhatan juga memberi hikmah dari aspek kebersihan diri.
“Sesuai dengan trend ‘Rahmah’ kini dalam menangani peningkatan kos sara hidup, program ini dianjurkan secara percuma oleh Surau Al Munawarah dengan kerjasama KRT Taman Sri Titingan.
“Secara tidak langsung, usaha ini dapat meringankan perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh ibu bapa terutama mereka yang mempunyai anak ramai dalam menunaikan tuntutan agama,” katanya.
Pada majlis itu, Nizam meluangkan masa beramah mesra bersama anak-anak yang berkhatan, ibu bapa serta petugas kesihatan yang terlibat.
Turut hadir, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Apas M. Azirian Syah Ali.