Bersukan tidak halang atlet pecut negara, Nur Aishah Rofina genggam Ijazah di UMS

KOTA KINABALU : Kesibukan sebagai atlet olahraga negara tidak menghalang Nur Aishah Rofina Aling untuk menggenggam segulung ijazah pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-25 baru-baru ini.

Menurut graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dengan Kepujian ini, beliau mula berkecimpung dalam sukan sejak di bangku sekolah rendah dan meneruskannya di sekolah sukan.

Kemudian pada tahun 2014, beliau mengikuti latihan olahraga secara persendirian yang lebih spesifik untuk melatih dirinya menjadi lebih baik.

“Walaupun banyak perkara yang terpaksa dikorbankan dari segi masa, wang dan tenaga namun ia akhirnya berbaloi,” katanya.

Aishah menjadikan ratu pecut negara Zaidatul Husniah sebagai sumber inspirasinya untuk terus melakar kejayaan yang aktif dalam bidang sukan, beliau gigih menamatkan pengajiannya dan akhirnya menjadi alumni UPM.

Ketika ditanya bagaimana cara beliau membahagikan masa antara pelajaran dan sukan, beliau berkata disiplin dan pengurusan masa yang baik adalah sangat penting.

“Saya akan membuat jadual untuk membahagikan masa saya untuk belajar dan latihan. Kalau kelas saya pada waktu pagi, saya akan membuat latihan pada waktu petang,” ujarnya.

Beliau juga menyatakan detik yang mencabar sepanjang berada dalam sukan ialah dari segi pembahagian masa.

“Saya harus bijak memberikan perhatian sepenuhnya antara bidang akademik dan sukan,” jelasnya.

Penglibatan terbaik beliau sehingga ke peringkat antarabangsa iaitu mewakili Malaysia ke Sukan Asia Hangzhou, China.

Beliau pernah memenangi pertandingan 4×100m dan mendapat tempat ketiga dan membawa balik pingat gangsa pada Sukan SEA Cambodia.

Selain itu, pencapaian terbaiknya ialah mencatat rekod terbaru iaitu 11.90s bagi acara lari pecut 100m dan berjaya memenangi pingat emas pada MAF Track and Field Championship 2023.

Anak kelahiran Sandakan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada ibu bapanya, rakan-rakan dan orang sekeliling kerana sentiasa memberikan sokongan dan dorongan dari aspek akademik mahupun sukan.

Atlet olahraga ini menyatakan bahawa perancangan beliau setelah menamatkan pengajian adalah fokus dengan bidang yang diminatinya iaitu sukan.

“Januari 2024 ialah kejohanan pertama. Misi utama saya agar dapat memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 100m wanita,” katanya bersemangat.