SANDAKAN : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan berbincang dengan Pakatan Harapan (PH) berkaitan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, bagaimanapun belum ada tarikh bila perbincangan itu diadakan.
Katanya, perbincangan tersebut akan diadakan dalam masa terdekat berikutan PH kini berada dalam kerajaan.
“Kita mengulangi pendirian mengenai siapa yang sepatutnya menawarkan kerjasama dengan gabungan atau parti lain berikutan tindakan Barisan Nasional (BN) Sabah mengumumkan kerjasama dengan PH Sabah, baru-baru ini.
“Sebagai parti yang menerajui kerajaan GRS-PH Plus ketika ini bersama rakan kerjasama bagi menghadapi pilihan raya itu akan ditentukan mereka,” katanya di sini hari ini.
Hajiji merupakan Pengerusi GRS berkata, Kerajaan negeri adalah GRS-PH Plus ini sangat jelas namun keutamaan menyatupadukan rakyat serta kestabilan politik di Sabah adalah menjadi keutamaan.
“Jadi, walau bagaimanapun pintu kita tidak tutup untuk mereka yang mahu bekerjasama dengan kita.
“Tapi perlu diingat bahawa kerajaan hari ini adalah GRS-PH Plus, jadi kita yang tentukan siapa rakan kita dalam pilihan raya nanti,” jelas Hajiji.
Pada akhir persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Khamis lalu, Hajiji membayangkan bahawa GRS tetap memilih PH sebagai rakan kerjasama walaupun BN Sabah mengumumkan bekerjasama dengan PH.