KUNAK : Seorang wanita masih berstatus isteri orang antara tiga pasangan ditangkap khalwat dalam serbuan dua hotel bajet sekitar Kunak, awal pagi tadi.
Pegawai Tadbir Agama Jabatan Hal Ehwan Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Kunak, Mohd Jeffery Hamad berkata, wanita tersebut sebelumnya mendakwa sudah berkahwin secara nikah kampung bersama pasangan khalwatnya berumur 30-an.
Katanya, bagaimanapun kedua-dua mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen sah yang diiktiraf penguat kuasa agama selain didapati memiliki suami serta masih berdaftar pada sistem JHEAINS.
“Kita menerima pelbagai alasan diberikan oleh kesemua pasangan terbabit dalam cubaan untuk melepaskan diri dari tindakan undang-undang.
“Salah seorang daripada pasangan ditahan merupakan penjawat awam wanita dipercayai menjalinkan hubungan tanpa ikatan sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Jeffery berkata, sementara pasangannya bertindak melompat keluar dari tingkap bilik hotel di tingkat dua untuk melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Satu lagi pasangan berumur 30-an mendakwa mereka sudah bertunang dan hanya menunggu masa untuk melangsungkan perkahwinan.
“Kesemua mereka yang ditahan akan disiasat mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah,” jelas Mohd Jeffery.
Menurutnya, beliau turut menegaskan bahawa operasi sedemikian akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi menangani gejala sosial yang semakin membimbangkan dalam kalangan masyarakat Kunak.
“Orang ramai diseru agar tidak mengambil mudah soal pergaulan bebas dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh agama.
“Operasi selama hampir tujuh jam yang bermula pukul 10 malam pada Khamis itu disertai 14 Pegawai dan anggota JHEAINS Kunak serta Polis Diraja Malaysia (PDRM),” kata Mohd Jeffery.