PRN Selangor: Pengundi Selangor bijak dan tidak mahu negeri diperdagangkan dengan emosi politik melampau – Abdul Rahman Dahlan

DENGKIL: Realitinya pengundi Selangor bijaksana dan bagi mereka negeri ini tidak boleh diperdagangkan dengan emosi politik yang keterlaluan, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata orang-orang Melayu di negeri ini melihat Selangor sebagai sebuah negeri yang maju dan masa depan negara bergantung dengan kemakmuran negeri Selangor.

“Kerajaan Negeri mentadbir dengan prestasi baik dan dengan kestabilan politik yang ada antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), rakyat negeri Selangor memang mahukan kestabilan ini.

“Dengan ini negeri Selangor ini akan menjadi pencetus kepada ekonomi negara kita,” katanya pada Ceramah Penerangan Isu-isu Semasa PRN2023 di Kampung Labohan Dagang, dekat sini, malam ini.

Rahman yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berkata dari segi sokongan, beliau melihat tidak banyak kejutan di Selangor ini kerana yang pasti negeri ini akan kekal dibawah Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri 2023 ini.

Kerajaan Perpaduan Gabungan PH dan BN dapat memberi cadangan pembangunan negara yang mantap, katanya yang juga Ketua Bahagian UMNO Tuaran.

Dewan Undangan Negeri (DUN) N55 Dengkil menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara calon BN, Perikatan Nasional (PN), Parti Utama Rakyat (PUR) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Mereka adalah Datuk Mohd Daud Leong Abdullah (PUR), Noorazli Said (BN), Datuk Seri Jamil Salleh (PN) dan Darren Ong (PSM).