Kerja naik taraf Kolam Renang, Pusat Akuatik Kompleks Sukan Likas ambil masa lama

KOTA KINABALU: Pengguna Kolam Renang dan Pusat Akuatik Kompleks Sukan Kota Kinabalu di Likas melahirkan rasa kesal dengan kerja naik taraf kemudahan itu mengambil masa yang lama.

Penutupan kemudahan itu turut menjejaskan latihan renang dan terjun yang dikendalikan beberapa kelab renang di Pusat Akuatik kompleks sukan itu.

Paling terkesan adalah latihan terjun disebabkan tiada kolam renang ada kemudahan itu di daerah ini boleh digunakan.

Manakala, bagi latihan renang, kelab renang terpaksa mencari inisiatif di kolam renang yang sesuai antaranya di Kompleks Sukan Penampang dan di Kampus Universiti Tunku Abdul Rahman di Jalan UMS.

Kolam renang dan rekreasi ditutup sejak Disember tahun lalu, manakala Pusat Akuatik ditutup pada Januari lepas dengan notis Lembaga Sukan Sabah (LSS) menyatakan untuk pemasangan bumbung dan kerja penyelenggaraan.

Notis LLS menyatakan tarikh penutupan sehingga 31 Oktober ini.

Pengguna bagi kolam renang dan rekreasi kecewa kerja pemasangan bumbung mengambil masa yang lama dengan notis awal penutupan pada Disember 2022 hingga 1 Jun lepas, kemudian dilanjutkan ke 2 Ogos dan terkini sehingga 31 Oktober.

Beberapa ibu bapa pelatih kelab renang juga menyatakan rasa kecewa dengan masa lama diambil untuk kerja naik taraf itu.

Mereka mahu pihak LLS memberikan perhatian serius kerja penyelenggaraan di Pusat Akuatik disebabkan keperluan mendesak kemudahan itu kepada pelatih-pelatih kelab renang yang menggunakan kemudahan itu.

Salah seorang bapa kepada pelatih berkenaan menyatakan bagi latihan renang ada alternatif tempat latihani di Kompleks Sukan Penampang tetapi pelatih terjun ada yang terpaksa berhenti disebabkan tiada kolam renang boleh digunakan.

“Kerja naik taraf kolam renang dan Pusat Akuatik Kompleks Sukan Likas ini harus dipercepatkan dan diberikan perhatian serius oleh Kementerian Belia dan Sukan Negeri.

“Ini juga menjejaskan usaha melahirkan atlit renang dan terjun negeri sekiranya tiada tempat kemudahan latihan dalam tempoh yang lama,” katanya.

Beliau juga berharap Menteri Belia dan Sukan Negeri Datuk Ellron Alfred Angin dapat memberi perkara ini kerana sebagai bekas atlit sukan beliau tentunya sangat memahami keperluan tempat latihan yang sesuai dan kondusif.