PRN Sabah: Pemuda Gagasan Rakyat Tanjung Keramat Sokong Penuh Seruan Hajiji Noor GRS Bergerak Solo

PUTATAN : Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Tanjung Keramat menyatakan sokongan terhadap seruan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, bergerak secara solo dalam Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) akan datang.

Ketuanya, Burhanuddin Yahya berkata, beliau menegaskan GRS tetap berpendirian bahawa kerajaan negeri haruslah dikelola oleh parti tempatan Sabah demi kepentingan dan masa depan rakyat negeri ini.

Antara mereka yang hadir dalam persidangan malam tadi.

“Kunci kejayaan kerajaan negeri adalah kestabilan politik. Situasi tukar-tukar kerajaan ini tidak membawa apa-apa kemajuan kepada rakyat Sabah.

“Semua ahli Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah, khususnya di Bahagian Tanjung Keramat, agar memperkukuhkan saf perjuangan demi memastikan kestabilan dan pembangunan berterusan di negeri Sabah,” katanya semasa Persidangan Cawangan Tahunan PGRS Cawangan Kuala Putatan di sini semalam.

Burhanuddin berkata, keputusan ini adalah aspirasi kehendak rakyat bagi memastikan Sabah berhak menentukan hala tuju serta pembangunan di negeri sendiri.

“Jika ada sebarang pihak yang tidak bersetuju atau tidak sehaluan atau tidak menghormati keputusan aspirasi rakyat Sabah ini, maka itu keputusan mereka dan kami perlu terus bergerak maju ke hadapan.

“GRS menerusi kepimpinan Ketua Menteri membuktikan banyak perkara khususnya berkaitan pembangunan dan perkembangan ekonomi negeri mampu diputuskan di peringkat negeri tanpa menunggu ‘green light’ pihak luar,” katanya.

Menurutnya, inilah merupakan impian rakyat Sabah agar mereka mampu untuk berdikari dengan usaha negeri sendiri.

“Bagi Gagasan Rakyat keputusan parti lain untuk bekerjasama dalam PRN Sabah, adalah keputusan dan hak mutlak parti berkenaan.

“Begitu juga dengan Gagasan Rakyat yang yakin dan menyokong penuh kepimpinan Ketua Menteri dan GRS,” jelas Burhanuddin.