KOTA KINABALU : Parti Harapan Rakyat Sabah menyokong penuh kepimpinan serta keputusan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor untuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertanding secara solo pada PRN akan datang.
Setiausaha Agungnya, Christy Chok Lee Lui berkata, sememannya
Negeri Sabah harus kekal dipimpin oleh parti tempatan sekali gus keputusan ini adalah tepat pada masanya.
Katanya, keputusan ini adalah aspirasi kehendak rakyat bagi memastikan Sabah berhak menentukan hala tuju serta pembangunan di negeri sendiri.
“Jika ada sebarang pihak yang tidak bersetuju atau tidak sehaluan atau tidak menghormati keputusan aspirasi rakyat Sabah ini, maka itu keputusan mereka dan kami perlu terus bergerak maju ke hadapan.
“GRS menerusi kepimpinan Ketua Menteri membuktikan banyak perkara khususnya berkaitan pembangunan dan perkembangan ekonomi negeri mampu diputuskan di peringkat negeri tanpa menunggu ‘green light’ pihak luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Christy berkata, inilah merupakan impian rakyat Sabah agar mereka mampu untuk berdikari dengan usaha negeri sendiri.
“Bagi Parti Harapan Rakyat Sabah, keputusan parti lain untuk bekerjasama dalam PRN Sabah, adalah keputusan dan hak mutlak parti berkenaan.
“Begitu juga dengan Parti Harapan Rakyat Sabah yang yakin dan menyokong penuh kepimpinan Ketua Menteri dan GRS,” jelas Christy.
Menurutnya, jika ada parti yang berminat bekerjasama dengan GRS, yang mempunyai hala tuju sama adalah sangat dialu-alukan.
“Bersatu kita teguh dan kuat, bercerai maka mudahlah kita dihancurkan. Rumah kita, kita jaga,” kata Christy.