KOTA KINABALU – “Dalam hidup saya, saya sering berjalan seorang diri. Tiada yang baharu tentang ini. Apa yang penting bukan berapa ramai yang berada di sisi saya, tetapi sama ada jalan yang saya pilih itu betul.”
Demikian reaksi penuh ketenangan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, selepas lima pemimpin partinya memilih untuk kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Jeffrey berkata, beliau menghormati keputusan mereka dan tidak terkejut dengan langkah itu kerana dalam politik, setiap individu berhak menentukan haluan berdasarkan hati nurani masing-masing.
“Sesetengah orang mungkin memilih jalan yang lebih mudah, tetapi saya akan terus berada di jalan yang membawa kepada keadilan untuk Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Menurutnya, perjuangan politik yang dibawanya tidak pernah berlandaskan jawatan atau keselesaan, sebaliknya berasaskan maruah, keadilan dan harapan rakyat Sabah yang masih belum sepenuhnya dipenuhi.
“Misi saya tetap sama. Saya akan terus berdiri untuk Sabah dan berkhidmat kepada rakyatnya dengan jujur serta berani,” tegasnya.
Dalam masa sama, Jeffrey turut menegaskan beliau tidak bermusuh dengan mana-mana pihak yang membuat pilihan berbeza, malah mendoakan yang terbaik untuk mereka.
“Namun tugas saya jelas — perjuangan mesti diteruskan. Pilihan Raya Negeri ini akan menjadi referendum sebenar untuk Sabah: sama ada kita terus tunduk kepada Malaya, atau berdiri teguh dengan maruah sendiri,” katanya dengan penuh semangat.
