KOTA BELUD: Dua pelancong warga China dilaporkan hilang secara misteri di Pulau Mantanani sejak semalam selepas gagal dikesan dan tidak keluar dari bilik penginapan mereka.
Mangsa, lelaki berusia 25 tahun dan wanita 28 tahun, dilaporkan menginap di sebuah resort di pulau berkenaan pada Sabtu lalu dan sepatutnya mendaftar keluar keesokan harinya.
Bagaimanapun, mereka tidak muncul dan gagal dihubungi, malah semua barang peribadi masih berada di dalam bilik, menimbulkan kebimbangan berlaku sesuatu yang tidak diingini.
Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penguasa Kanan Bomba (PKPgB) Mohd Razali Ahmad @ Awang Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.25 pagi semalam daripada Balai Polis Kota Belud.
“Seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud diketuai PBT II Thomas Bolu digerakkan ke lokasi sejauh 45 kilometer bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Operasi turut disertai lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), lima anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang menjalankan pencarian di kawasan pesisir pantai dan perairan menggunakan kaedah “Water Surface”.
Menurut Mohd Razali, operasi SAR yang bermula pagi tadi ditangguhkan jam 6 petang dan akan disambung semula esok bergantung kepada keadaan cuaca serta arus laut.
“Buat masa ini, pasukan penyelamat menumpukan pencarian di sekitar kawasan resort tempat mangsa menginap,” katanya.
