Nizam Seru Rakyat Teruskan Mandat Kepada GRS Demi Kestabilan Sabah  

KOTA KINABALU: Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor membuka peluang kepada rakyat untuk menilai semula hala tuju negeri menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menyeru rakyat agar terus mengekalkan mandat kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) demi kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan negeri.

Menurut beliau, sejak mengambil alih tampuk kepimpinan pada PRN ke-16, kerajaan di bawah GRS telah berjaya mentadbir dengan penuh tanggungjawab serta berpaksikan kestabilan yang menjadi kunci kepada kemajuan Sabah.

“GRS berjaya melaksanakan Dasar Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menjadi teras pembangunan negeri, menyeimbangkan antara kemajuan ekonomi, kebajikan rakyat dan kelestarian alam sekitar,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, pelbagai pelaburan baharu berjaya dibawa masuk dalam sektor tenaga hijau, pelancongan, pertanian dan perusahaan kecil serta sederhana (PKS) yang membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Pada masa sama, katanya, kerajaan turut melaksanakan pelbagai inisiatif rakyat termasuk program Rumah Mesra SMJ bagi membantu golongan B40 dan pasangan muda, selain memperkukuh kemudahan asas luar bandar serta sektor pendidikan dan kesihatan.

“Hubungan baik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan turut membolehkan lebih banyak peruntukan pembangunan disalurkan ke Sabah untuk manfaat jangka panjang rakyat,” katanya.

Nizam turut menyeru rakyat Sabah supaya terus memberi mandat kepada GRS dalam PRN ke-17 bagi memastikan dasar yang telah terbukti berkesan dapat diteruskan demi kestabilan dan kemajuan negeri.