KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah menunaikan tanggungjawab dengan sebaiknya sepanjang tempoh pentadbiran lima tahun, dan kini tiba masanya rakyat memberi mandat baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 bagi meneruskan agenda pembangunan negeri.
Beliau berkata, sejak mengambil alih pentadbiran pada September 2020, GRS berjaya memacu kemajuan melalui pelaksanaan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menjadi kerangka utama transformasi sosioekonomi negeri.
Menurutnya, pelan itu berasaskan tiga tonggak utama — Pertanian, Industri dan Pelancongan; Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat; serta Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau — yang menjadi panduan ke arah pembangunan mampan Sabah.
“Kami telah bekerja dengan gigih untuk membawa pertumbuhan dan perubahan bermakna kepada negeri ini. Banyak inisiatif telah berjaya dilaksanakan dan sebahagiannya sedang diteruskan demi kesejahteraan rakyat,” katanya selepas mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, pentadbiran GRS bukan hanya menumpukan kepada pembangunan fizikal tetapi juga penstrukturan semula ekonomi negeri dengan menarik pelaburan baharu yang membuka peluang pekerjaan dan memperkukuh asas ekonomi Sabah.
Katanya, pelbagai langkah berani telah diambil untuk menangani isu lama seperti bekalan air, elektrik dan infrastruktur luar bandar yang kini sedang dilaksanakan secara berperingkat melalui projek strategik negeri.
Dalam masa sama, beliau menegaskan hubungan erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diteruskan, kerana kerjasama itu membawa manfaat besar kepada Sabah termasuk penurunan sembilan bidang kuasa di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kenapa kita harus bergaduh dengan kerajaan Persekutuan, sedangkan itu juga kerajaan kita? Kita mesti menjaga hak negeri tanpa menjejaskan kepentingan negara. Itu prinsip saya,” katanya.
Mengulas keputusan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) yang menggunakan logo sendiri pada PRN17, Hajiji menegaskan bahawa parti yang tidak menggunakan logo GRS secara automatik terkeluar daripada gabungan.
Beliau yakin kerjasama GRS bersama Pakatan Harapan (PH) akan terus mendapat kepercayaan rakyat dalam PRN kali ini. “Insya-Allah, GRS dan PH akan menang. Kerajaan negeri kini berfungsi sebagai kerajaan sementara sehingga pembentukan kerajaan baharu selepas pilihan raya,” katanya.
