PRN Sabah: Kerjasama GRS-PH Akan Jadi Kenyataan Pada PRN17 – Masiung

KOTA KINABALU : Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Masiung Banah memberi bayangan kerjasama di antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) hampir pasti menjadi kenyataan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Beliau berkata, keyakinan itu jelas selepas Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS Datuk Seri Panglima Hajiji Noor beberapa kali menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan PH.

“PH Sabah juga berpendirian menyokong kepimpinan dan pentadbiran Ketua Menteri. Namun, kerjasama kedua-dua gabungan itu hanya akan diputuskan pada mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GRS tidak lama lagi.

“Jika kerjasama ini dimuktamadkan, GRS dan PH bakal membentuk jentera bersama di setiap daerah bagi memastikan calon dalam muafakat GRS meraih kemenangan dalam PRN17,” katanya.

Masiung berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Inanam yang diketuai Datuk Dr Roland Chia di sini semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut ini turut menegaskan, GRS berkongsi pandangan yang sama dengan Barisan Nasional (BN) untuk tidak menjalinkan kerjasama dalam PRN17.

Sehubungan itu, pihaknya optimis, hubungan kerjasama GRS dan PH dalam kabinet Sabah pada masa ini cukup baik dan ia menjadi perintis kepada kestabilan politik di Sabah.

Selain itu katanya, Gagasan Rakyat pimpinan Hajiji turut bersedia menjadi perisai di barisan hadapan untuk memastikan calon yang menjadi muafakat GRS menang dalam PRN17.