KOTA KINABALU : Parti Warisan (WARISAN) mengesahkan tidak terlibat langsung dalam Perarakan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0” berlangsung pada 21 dan 22 Jun ini.
Ketua Penerangannya, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, ini termasuk dalam menyalurkan sebarang bentuk pembiayaan atau pemberian wang kepada mana-mana peserta berkenaan.
Katanya, beliau menolak dakwaan kononnya terdapat beberapa ‘bukti tangkap layar’ mengaitkan nama “Datu” merujuk kepadanya merupakan satu cubaan memfitnah dan mengelirukan.
“Beberapa pesanan tangkap layar ditularkan itu adalah kiriman ‘Palsu’ sekali gus dilihat sengaja reka.
“Saya sekali lagi mengesahkan tidak pernah mengirim atau menerima pesanan tersebut. Penyebaran maklumat tidak benar ini adalah isyarat jelas betapa terdesaknya pihak tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azis berkata, ini terutamanya pengendali akaun media sosial penyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang sedang cuba mengalih perhatian rakyat daripada kegagalan mereka.
“Adalah ditegaskan bahawa sesiapa yang ingin menghadirkan diri ke himpunan tersebut, termasuk ahli Parti Warisan, berhak berbuat demikian atas kapasiti individu masing-masing, satu hak yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Walau bagaimanapun, pihak Parti Warisan ingin menegaskan bahawa ahli-ahli parti diingatkan untuk Tidak menggunakan atau memakai baju yang mempunyai logo Parti Warisan sekiranya memilih untuk menghadiri himpunan tersebut atas kapasiti peribadi mereka sebagai rakyat Sabah dan Malaysia,” jelas Mohd Azis.
