PRN Sabah: Jentera Wanita Gagasan Rakyat Diingatkan Jangan Terlalu Yakin – Redonah

KOTA KINABALU : Jentera pilihan raya diingatkan supaya tidak berasa terlalu yakin dengan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 nanti.

Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Redonah Bahanda berkata, kemenangan sebenar adalah pada hari pengundian sekali gus rakyat memberikan mandat kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memerintah.

Katanya, semua peringkat lapisan kepimpinan parti tidak boleh sekali-kali mempunyai sifat terlalu yakin untuk memperoleh kemenangan.

“Kemenangan sebenar hanya boleh diraikan sebaik sahaja pengumuman atau pengisytiharan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada malam hari mengundi pada PRN kelak.

“Berdasar kepada sejarah pilihan raya lalu baik PRN atau PRU, apa sahaja boleh berlaku dan corak rakyat mengundi kadang-kadang begitu kompleks dan sukar diramalkan. Apa sahaja boleh berlaku. Ramalan terbalik 360 darjah biasa berlaku,” katanya di sini semalam.

Redonah berkata, sebelum menjelang hari mengundi pelbagai  faktor boleh memungkinkan kemenangan atau kekalahan kepada parti.

“Malah sehingga menjelang malam hari mengundi pun tidak ada pihak boleh mendabik dada mereka boleh menang dan mampu menang.

“Kemenangan pada PRN lepas pula tidak sesekali boleh dijadikan ukuran untuk semua jentera berasa selesa dengan corak pilihan rakyat,” jelas Redonah.

Menurutnya, kemenangan yang dikecapi bukan disebabkan Gagasan Rakyat kuat tetapi rakyat hanya mahu memberi peluang untuk memerintah.

“Sewajarnya, kita mengatur langkah awal, langkah yang hebat atau strategi yang lebih mantap supaya momentum sokongan tidak hilang menjelang PRN.

“Kita yakin Gabungan Rakyat Sabah hari ini masih mendapat sokongan dan menjadi harapan rakyat untuk terus memerintah terutama berdasarkan rekod dan pencapaian yang ada,” katanya.