SANDAKAN : Pengagihan kerusi antara parti-parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) masih di peringkat perbincangan dan belum diputuskan oleh pucuk pimpinan.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkata, setakat ini masih ada parti komponen dalam GRS yang belum mengemukakan cadangan senarai calon masing-masing.
“Bagaimanapun, perkara ini akan diperincikan dalam mesyuarat Majlis Presiden GRS dan PH dalam masa terdekat.
“Saya tidak terlibat secara langsung dalam mesyuarat GRS, tetapi biasanya Presiden Gagasan Rakyat yang juga Pengerusi GRS akan memberikan makluman,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Gum-Gum, di sini, semalam.
“Saya tidak terlibat secara langsung dalam mesyuarat GRS, tetapi biasanya Presiden Gagasan Rakyat yang juga Pengerusi GRS akan memberikan makluman,” katanya.
Masiung merupakan Ahli Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata, rundingan pengagihan kerusi antara GRS dan PH masih berjalan dan belum dimuktamadkan.
“Semua ahli parti di peringkat bahagian dan akar umbi perlu menghormati keputusan Majlis Presiden kerana ia merupakan entiti tertinggi dalam GRS.
“Sentimen rakyat masa kini cenderung kepada parti tempatan, namun kerjasama dengan PH tetap penting memandangkan gabungan itu berada di bawah pimpinan Perdana Menteri,” jelas Masiung.
Lebih 1,500 perwakilan dan pemerhati menghadiri persidangan itu yang diketuai oleh Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Gum-Gum, Datuk Juslie Ajirol dan Timbalannya, Datuk Jaffari Waliam.