Anwar Arah KPT, UMS Tidak Sekat Akademik Pelajar Bakar Karikaturnya

KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) agar tidak mengambil tindakan terhadap pelajar yang membakar karikatur PM di Kota Kinabalu, baru baru ini.

Perkara itu disampaikan Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri, hari ini.

“Selaras dengan pendekatan MADANI yang mengutamakan nilai ihsan, Perdana Menteri turut mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) agar pelajar yang terlibat tidak disekat perjalanan akademiknya.

“Masa depan anak muda tidak harus terkorban dalam arus perbezaan pandangan,” jelasnya.

Tambahnya, sebagai aktivis mahasiswa dan reformis, Anwar sentiasa mempertahankan kebebasan bersuara seperti termaktub dalam Perlembagaan.

“Insiden pembakaran karikatur Perdana Menteri di Kota Kinabalu baru-baru ini mengingatkan kita betapa besar harapan rakyat agar rasuah dibanteras sampai ke akar umbi.

“Perdana Menteri sendiri muncul daripada gerakan mahasiswa dan pernah memimpin gerakan reformasi di jalanan, maka beliau benar-benar memahami suara itu, beliau sendiri saksi bahawa kritikan, walau sepedas mana, adalah sebahagian penting dalam meraikan demokrasi,” katanya.

Perdana Menteri juga jelasnya menitip pesan bahawa semangat perubahan bermula dengan keberanian anak muda menyuarakan kebenaran berlandaskan fakta dan niat yang tulus.

Justeru, di pihak kerajaan komitmen reformasi kekal teguh, sedang dan telah diterjemahkan ke dalam tindakan nyata.

Ahad lalu, sekumpulan pelajar di Sabah bertindak membakar poster Anwar sebagai protes terhadap gejala rasuah.