Bayaran interim RM1.5 bilion tidak jejas negeri lain, kata Nizam

TAWAU: Peningkatan bayaran interim pemberian khas kepada Sabah sebanyak RM1.5 bilion diyakini tidak akan menjejaskan agihan peruntukan kepada negeri-negeri lain, kata Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan sudah tentu meneliti pelbagai aspek termasuk implikasi kewangan sebelum membuat keputusan berhubung peningkatan bayaran berkenaan.

Menurutnya, seperti dijelaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bayaran interim itu merupakan sebahagian daripada hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya yakin apa juga yang diumumkan oleh Perdana Menteri telah diteliti dari segi kesannya kepada negeri-negeri lain dan perkara itu dapat ditangani dengan sebaiknya oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya selepas merasmikan Like Fest Fun Run 2026 di Kompleks Sukan Tawau.

Nizam berkata, peningkatan bayaran interim itu turut membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu berkaitan hak Sabah secara berperingkat melalui rundingan dan kerjasama berterusan.