KINABATANGAN : Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) di sini, Omar Maya Amat meminta kerajaan membantu badan bola sepak itu membangunkan fasiliti sukan di kawasan tanah miliknya seluas kira-kira lapan ekar.
Menurut beliau, persatuan memerlukan sokongan sama ada dari pihak kerajaan negeri mahu pun Persekutuan untuk penyediaan kemudahan sukan seperti kompleks sukan mini dan prasarana lain di daerah ini.

“SAFA daerah memiliki tanah seluas kira-kira lapan ekar yang sedang dalam proses kelulusan dan ia perlu dibangunkan untuk kegiatan sukan bola sepak,” katanya ketika Liga Bola Sepak Veteran di padang SK Kota Kinabatangan di sini.
Kejohanan itu dianjurkan SAFA daerah Kinabatangan dengan kerjasama Kelab Bola Sepak MIHA (MIHA FC) dan disertai 18 pasukan.
Omar berkata, SAFA daerah telah merancang untuk mewujudkan fasiliti sukan di kawasan tanah tersebut sebelum ini namun menghadapi kekangan dana.
“Kami berusaha untuk menyediakan kemudahan padang di kawasan tanah itu selain kita perlu menyediakan kemudahan lain supaya tanah tersebut dapat dimanfaatkan untuk aktiviti bola sepak,” ujarnya.

Beliau juga berharap semua pemimpin di daerah berkenaan tanpa mengira fahaman politik seharsnya tampil membantu pihak persatuan agar fasiliti yang hendak dibangunkan dapat direalisasikan.
Mengenai penganjuran liga veteran itu, Omar, bekas pemain skuad negeri itu berkata, ia sebagai langkah menyemarak dan merancak lagi suasana bola sepak di daerah berkenaan.
Sementara itu, ketka merasmikan liga itu, Pegawai Khas Ketua Menteri, Mohd Ismail Ayob berkata, pihaknya akan membantu persatuan itu melalui agensi berkaitan di samping menggunakan dana sendiri bagi memastikan perancangan yang dilakukan pihak persatuan menjadi kenyataan.

Ia termasuk usaha pembaikan padang sedia ada dan lain-lain kemudahan yang diperlukan, ujarnya.
Ismail turut menyumbang jersi kepada 18 pasukan yang mengambil bahagian dalam liga itu.
Antara legenda veteran yang terbabit dalam kejohanan itu ialah Amri Yahyah, Yap Wai Loon dan beberapa pemain lagi.