LAHAD DATU : Pembukaan Pusat Kawalan dan Stesen Penyelidikan Langom di Kawasan Konservasi Lembah Danum merupakan bukti komitmen Kerajaan Sabah terhadap usaha pemuliharaan dan penyelidikan biodiversiti di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, inisiatif oleh Yayasan Sabah dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri itu selari dengan matlamat untuk mewujudkan persekitaran penyelidikan yang kondusif di samping memastikan pengurusan hutan secara lestari.
“Oleh itu, saya ingin mengulangi sokongan penuh Kerajaan Negeri terhadap usaha pemuliharaan dan penyelidikan seperti ini.
“Saya amat berharap Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk menyalurkan lebih banyak sokongan, khususnya dalam bentuk pembiayaan berterusan menerusi Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli Nasional (NCTF) serta dalam Rancangan Malaysia Ke-13 akan datang,” katanya semasa merasmikan Pusat Kawalan dan Stesen Penyelidikan Langom, di sini hari ini.
Teksnya disampaikan Timbalan Ketua Menteri Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya.
Hajiji berkata, beliau yakin melalui sokongan daripada semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan, kawasan pemuliharaan seperti Lembah Danum dan keseluruhan Landskap Hutan Hujan DaMaI (Lembah Danum, Lembangan Maliau dan Imbak Canyon) akan terus kekal sebagai khazanah biodiversiti dunia serta menjadi pusat penyelidikan, pendidikan dan pemuliharaan terulung negara.
Hajiji berkata penubuhan pusat ini melalui peruntukan RM5.6 juta daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 adalah sejajar dengan teras utama Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), khususnya dalam pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan lestari.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk mengimbangi pembangunan ekonomi dengan pemuliharaan sumber asli demi kesejahteraan jangka panjang rakyat dan generasi akan datang.
“Kita turut memuji pencapaian cemerlang Yayasan Sabah dalam mengurus dan memelihara Kawasan Konservasi Lembah Danum dan kawasan lain sepertinya sejak sekian lama,” jelasnya.
Menurutnya, Kumpulan Yayasan Sabah bukan sahaja memainkan peranan penting dalam menjaga kawasan konservasi hutan simpan perlindungan dan hutan simpan yang dilindungi sepenuhnya.
“Totally Protected Area yang begitu berharga ini, malah telah mengangkat nama Sabah ke persada antarabangsa sebagai contoh pengurusan kawasan konservasi yang telus, berintegriti dan berwawasan.
“Sistem penyelidikan yang ditubuhkan di dalam Hutan Simpan Ulu Segama- Malua, di bawah Jawatankuasa Pengurusan Jabatan Perhutanan Sabah yang turut melibatkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) terletak di lokasi yang sangat strategik iaitu di antara kawasan projek Face The Future, Netherlands (INFAPRO) dan Pusat Pembelajaran Lembah Danum,” katanya.