KOTA KINABALU : Barisan Nasional (BN) Sabah menyatakan kesediaan untuk bertanding sekurang-kurangnya 32 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusinya, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, sasaran keseluruhan yang akan ditandingi sebanyak 40 kerusi tanpa sebarang kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Katanya, BN Sabah akan bertanding secara satu lawan satu atau dalam pertembungan pelbagai penjuru menentang GRS sehingga 25 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kami sudah jalankan beberapa simulasi dan latihan jentera di kawasan yang dikenal pasti. Jentera BN mantap dan bersedia hadapi saingan pelbagai penjuru.
“Kerusi disasarkan adalah majoritinya di kawasan luar bandar dan separa bandar yang pernah ditandingi BN pada pilihan raya 2020,” katanya.
Bung Moktar berkata, beliau menjangkakan banyak kerusi akan menyaksikan pertandingan enam atau tujuh penjuru.
“Tidak mengapa, semua orang rasa mereka boleh menang. Saya yakin dengan kekuatan akar umbi kami.
“Inilah cara terbaik untuk selesaikan segalanya,” jelas Bung Moktar.
Menurutnya, rundingan bersama Pakatan Harapan (PH) berjalan lancar dan beliau yakin pembahagian kerusi akan dapat dilakukan dengan baik.
“Mereka (PH) adalah rakan kerjasama yang baik. Tiada isu besar antara kami dan mereka kuat di kawasan bandar,” katanya.