KAZAKHSTAN: Kerajaan Kazakhstan menyuarakan minat terhadap sekror pelancongan di Sabah sekali gus berusaha membawa lebih ramai pelancong negara itu datang berkunjung ke Kota Kinabalu dan Semporna dalam tempoh terdekat.
Yang Dipertua ASEAN Chamber of Commerce & Industry (ACCI) Sabah Chapter, Datuk Nordin Ening berkata, sebelum ini pelancong Kazakhstan lebih tertumpu melawat ke Pulau Langkawi.

Katanya, promosi secara agresif perlu dilakukan bagi menarik lebih ramai pelancong Negara Kazakhstan datang berkunjung ke Sabah.
“Sebagai balasan, mereka juga menawarkan pengalaman unik bercuti di Kazakhstan termasuk pakej permainan jet ski musim salji bermula bulan Oktober, kereta kabel serta aktiviti pelancongan musim sejuk.
“Kazakhstan kini melihat Asia Tenggara, khususnya Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan rakyatnya berikutan wujudnya ketidakstabilan situasi berlaku di Eropah Timur serta Timur Tengah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas bersama rombongan baharu menyelesaikan siri lawatan kerja selama tiga hari ke Republik Kazakhstan atas jemputan Dewan Usahawan Kota Almaty (Atameken), di sini semalam.

Nordin berkata, kemudahan penerbangan terus antara Almaty ke Kuala Lumpur empat kali seminggu dikenal pasti menjadi pemangkin utama peningkatan jumlah pelancong negara itu ke Sabah.
“Syarikat penerbangan AirAsia kini dalam rundingan serta akan menambah satu lagi penerbangan mingguan sekali gus menjadikannya lima kali seminggu menjelang akhir bulan ini.
“Rakyat Kazakhstan kini memilih Malaysia sebagai destinasi utama rawatan perubatan yang berkualiti serta berpatutan,” jelas Nordin.
Menurutnya, ini secara tidak langsung membuka ruang besar untuk sekror pelancongan kesihatan di Sabah, khususnya membabitkan hospital swasta serta pusat pemulihan yang terdapat di negeri ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Nordin bersama rombongan menerima taklimat terperinci berkaitan beberapa projek pelaburan utama yang kini sedang dibuka kepada pelabur luar.
“Antaranya, Kilang Pembuatan Tali Sawat (Conveyor Belt), iaitu dibangunkan oleh Kumpulan Aytei, antara pemain utama industri pembinaan infrastruktur Kazakhstan.
“Projek ini menyasarkan pengeluaran tali sawat berkualiti tinggi untuk sektor agrikultur, perlombongan dan industri berat. Pelabur Malaysia dijemput menyertai secara kerjasama pelaburan serta Pemprosesan Sisa Mineral Teknogenik (TMW),” katanya.
Selain itu, Kazakhstan masih memiliki lebih 5 bilion tan sisa mineral dari era Soviet yang mengandungi logam bernilai tinggi seperti kuprum.
“Mereka memerlukan pelabur industri dari Malaysia untuk membina kilang pemprosesan moden di sana antaranya, Lapangan Minyak Tortai (Wilayah Atyrau), Mempunyai rizab geologi sekitar 82.1 juta tong, dengan 22 telaga telah digerudi dan empat daripadanya aktif menghasilkan minyak.
“Projek ini dibuka untuk pelabur strategik dari luar negara termasuk Malaysia. Selain itu Kenderaan Elektrik (EV), Proton telah menandatangani perjanjian membina kilang EV di Kazakhstan,” katanya.
Nordin berkata, Negara tersebut kini memacu ke arah 80 peratus penggunaan EV di bandar-bandar utamanya yang sangat bersih serta lestari.
“Lebih membanggakan dalam lawatan ini, Kazakhstan turut menyatakan minat untuk membangunkan sistem perbankan Islam dan teknologi kewangan (fintech).
“Mereka juga terbuka untuk kerjasama pertukaran pelajar dan program pendidikan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang lebih memfokuskan kepada Bahasa Inggeris, memandangkan Bahasa Rusia kini semakin berkurangan digunakan,” jelasnya.
Menurutnya lagi, ACCI Sabah berperanan sebagai penghubung serta peneroka peluang untuk membawa pelabur dan pemain industri dari Malaysia, khasnya Sabah, ke Kazakhstan.
“Kami akan menyusun semula susulan lawatan ini untuk mempermudah kehadiran pelabur dan pelancong Kazakhstan ke Semporna dan Kota Kinabalu dalam tempoh terdekat.
“Kami berharap semua agensi dan pemain industri di Sabah, termasuk MATRADE, MITI, Tourism Sabah, MIDA serta sektor swasta akan berganding bahu menyambut potensi ini dengan secara lebih serius dan berstrategi,” kata Nordin.