LAHAD DATU : Dua beranak yang mendakwa sedang berjalan kaki dari Negara Indonesia menuju ke Makkah melalui negeri Sabah bermula di Tawau akhirnya ditahan di Lahad Datu, di sini malam kelmarin.
Menurut sumber, terdapat aduan kebimbangan orang awam terutama di dalam media sosial sehingga mereka ditahan sepasukan polis kemudian dirujuk ke pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) Lahad Datu untuk disoal siasat.

Pegawai Tadbir Agama JHEAINS daerah Lahad Datu, Mardi Arifin berkata, kedua-dua mereka ditemui ketika cuba untuk bermalam di salah sebuah masjid di daerah ini.
“Bertindak atas maklumat orang ramai dan video mereka yang tular di media sosial ketika tiba di Lahad Datu, kami dengan kerjasama pihak polis telah berjumpa mereka untuk sesi soal siasat.
“Berdasarkan maklumat dan siasatan, mereka ini mempunyai dokumen perjalanan yang sah, iaitu beralamat di Bulukumba, salah sebuah daerah di Indonesia dan mendakwa sedang berjalan kaki dalam perjalanan ke Makkah untuk tujuan umrah,” katanya.
Mardi berkata, tindakan ini mencurigakan pihak JHEAINS kerana tidak masuk akal untuk berjalan melalui Indonesia ke Sabah, Malaysia bagi tujuan ke Makkah.
“Tindakan ini mengundang kerisauan orang ramai memandangkan mereka membuat siaran langsung melalui TikTok dan YouTube.
“Kedua-dua mereka mengaku ada mendapat sumbangan dari orang ramai ketika perjalanan dari Tawau ke Lahad Datu,” jelas Mardi.
Menurutnya, pihak JHEAINS mendapati sesuatu yang tidak kena sekali gus menasihatkan kedua beranak ini agar segera menghentikan tindakan ini.
“Kegiatan mereka ini boleh mengundang fitnah kepada agama Islam di daerah ini dan seluruh Sabah.
“Kedua beranak ini kemudiannya akur dan mereka telah dihantar ke terminal bas terdekat untuk mereka kembali ke Tawau,” katanya.
Beliau berkata, mereka berjanji akan pulang segera ke Indonesia dan tidak akan meneruskan hasrat perjalanan ke Makkah melalui Sabah bermula dari Tawau ke seluruh negeri ini.
“Kami juga ingin menasihatkan orang ramai khususnya agar tidak mudah memberikan sebarang bentuk sedekah samada melalui fizikal atau digital dalam gift TikTok dan sebagainya agar tidak dimanipulasi oleh pihak tertentu bagi tujuan peribadi,” katanya.