KOTA KINABALU: Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah (SM) All Saints Likas Sabah sentiasa komited dalam menyokong usaha dijalankan pihak sekolah sekali gus menjamin kecemerlangan pelajar di masa depan.
Yang Dipertuanya, Robert Lipun berkata, SM All Saints sangat komited dalam memastikan kejayaan diperolehi menerusi pelbagai usaha khususnya dilakukan guru-guru di sekolah dibawah kepimpinan pengetuanya, Dr Mary Gambidau.
Katanya, ini untuk memastikan semua pelajar mampu mendapat keputusan yang terbaik khususnya menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Sesungguhnya usaha yang dilakukan guru sangat bermakna bagi memastikan pelajar yang berada di dewan ini menjadi cemerlang dalam pelajaran masing-masing.
“Sebagai seorang ibu bapa, saya ingin mengingatkan kepada anak-anak supaya menjalankan tanggungjawab sebagai penuntut ilmu.
“Perjalanan untuk memburu kecemerlangan akademik, masih jauh dan terbentang luas di hadapan. Justeru, jangan persia kesempatan yang ada,” katanya merasmikan Majlis Graduasi Tingkatan 5 SM All Saints Likas Kota Kinabalu.
Robert berkata, sehubungan itu pelajar perlu mengapai kecemerlangan ilmu sebanyak mungkin sebagai persediaan untuk menghadapi dunia yang serba mencabar pada masa kini.
“Penganjuran majlis seumpama ini sebenarnya bertujuan memberi motivasi serta perangsang agar pelajar dapat meningkatkan kesediaan diri dari aspek psikologi.
“Sesungguhnya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM adalah sangat penting sebagai platform untuk meneruskan hasrat menuntut ilmu ke peringkat yang lebih tinggi di universiti,”
jelas Robert.