KOTA BELUD: Mungkin tidak ramai yang tahu, khususnyq golongan muda bahawa UMNO Sabah telah diberi kuasa “autonomi” untuk menentukan hala tuju perjuangan parti itu di negeri ini.
Sejarah UMNO Sabah terpahat dalam arena politik negara apabila mesyuarat khas bersempena Persidangan Agung UMNO 2019 (PAU 2019) meluluskan pindaaan perlembagaan UMNO.
Menurut Wikipedia, autonomi
boleh ditakrifkan sebagai kebebasan sesebuah organisasi, institusi, atau individu untuk membuat keputusan mereka sendiri.
Susulan pemberian kuasa autonomi itu,
UMNO Sabah secara rasminya ‘mengurangkan ikatan’ dengan UMNO pusat.
Sebaik sahaja pindaan tersebut diluluskan lima tahun yang lepas, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dipetik sebagai berkata bahawa peralihan tersebut memaktubkan kewujudan UMNO Sabah sebagai sebuah entiti politik yang berautonomi kerana hanya orang Sabah yang lebih arif akan masalah dan perkara yang boleh dilakukan di negeri itu.
“Kini kita diberi kuasa untuk menguruskan segala urusan. Ia masih ‘UMNO’ cumanya kita akan lokalkannya. Soal calon, soal pemimpin, soal kerusi yang kita tanding akan diputuskan oleh UMNO Sabah sendiri,” Bung dipetik sebagai berkata ketika itu.
Bagaimanapun, seteru politik, terutama parti tempatan terus memainkan isu ini atau kreatif menjadikan status UMNO – parti nasional sebagai umpan politik untuk meraih sokongan rakyat dengan slogan “kita mahu parti lokal memerintah Sabah”.
Tanpa seteru politik menyedari, status UMNO Sabah sebenarnya jauh berbeza dengan UMNO asal kerana UMNO Sabah kini diberi kuasa autonomi.
Ironinya, orang ramai mungkin cenderung lupa atau enggan menerima realiti bahawa hampir semua pemimpin parti tempatan yang ada di Sabah adalah “graduan” sama ada institusi UMNO atau Barisan Nasional (BN).
Bagi menyangkal “persepsi” bahawa UMNO bukan parti lokal, Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Nasir berhujah bahawa sejak UMNO masuk ke Sabah pada 1992, tiada pemimpin dari Semenanjung dalam kepimpinan UMNO Sabah.
Sebaliknya, katanya, UMNO Sabah diberi kuasa autonomi untuk mentadbir hal-hal yang berkaitan dasar parti di Sabah.
“Persepsi kononnya UMNO -parti nasional hanya main politik semata-mata untuk mendapatkan sokongan rakyat.
“Saya sendiri dari Libaran bukan dari Mersing, Johor..Jadi bermakna tiada isu mengenai parti lokal. Orang tertentu, netizen cuba manipulasi isu parti nasional ini untuk kepentingan politik,” kata Suhaimi baru-baru ini.
Selain Bung dan Suhaimi, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Abdul Rahman Dahlan, Bendahari UMNO Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffrey Nor Mohamed juga merupakan pemimpin anak jati Sabah.
Ramai orang di Sabah ingin tahu sama ada bekalan air dan elektrik bertambah baik atau sebaliknya sejak GRS, gabungan parti tempatan, dan PH berkuasa di negeri itu?