SANDAKAN: Pasangan suami isteri warga emas berhadapan detik cemas selepas bot yang dinaiki kehabisan minyak dan hanyut ke perairan Filipina, sejak Ahad.
Pengarah Zon Sandakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Kapt Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, Md Asibih Tamang, 73, dan isterinya Fatima Ulo, 65, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan dari Kampung Terusan Sugut menuju Kampung Batu Putih, Sandakan.

Katanya, kedua-dua mangsa telah menaiki bot gentian kaca pada pukul 8 pagi Ahad dan sepatutnya tiba di rumah anaknya di Kampung Batu Putih, dua jam kemudian.
“Susulan itu, menantu mangsa telah membuat laporan kepada pihak Maritim Malaysia dan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) telah diaktifkan pada pukul 6.30 petang hari yang sama.

“Operasi kemudian ditamatkan selepas pasangan itu dapat dihubungi dan dilaporkan berada dalam keadaan selamat di Pulau Mapun, Filipina kelmarin,” katanya di Sandakan.
Menurut beliau, kedua-dua mangsa telah diberikan bantuan oleh nelayan tempatan yang juga membantu menghantar mereka pulang dengan menggunakan kapal nelayan.
Katanya, mereka kemudian diserahkan kepada pihak Maritim Malaysia berhampiran Tanjung Pamaguan dan seterusnya dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk diserahkan kepada keluarga, semalam.
“Kita diberitahu, mangsa menuju ke Batu Putih dengan menjadikan Pulau Tikus sebagai panduan perjalanan namun mereka telah tersesat sehingga bot kehabisan minyak berhampiran Pulau Lankayan.
“Mereka kemudian mendapatkan bantuan petugas di pulau itu untuk mengisi minyak. Dan, bagi mengelakkan daripada tersesat semula, petugas berkenaan menasihati mereka agar mengikuti sebuah kapal yang akan menuju ke Sandakan sebagai pandu arah.
“Namun, suami mangsa telah memintas kapal itu kerana bergerak terlalu perlahan selain mereka khuatir berlakunya ribut. Malangnya tindakan itu membuatkan mereka berdua kembali tersesat dan kehabisan minyak semula sehingga hanyut ke Pulau Mapun, Filipina,” jelasnya.
Sehubungan itu, Zon Maritim Sandakan mengingatkan kepada komuniti maritim agar mematuhi langkah-langkah keselamatan sepanjang berada di laut bagi mengelak daripada berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.
Orang ramai boleh terus menghubungi bilik operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian MERS 999 sekiranya berlaku sebarang insiden di laut.