Phil Ryan cekal habiskan pengajian walau kehilangan Ibu bapa semasa pengajian

KOTA KINABALU : Kehilangan ibu bapa ketika menyambung pengajian tidak mematahkan semangat graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Phil Ryan Cayongcong, 23, untuk meneruskan pengajian sehingga berjaya menggenggam segulung ijazah pada Majlis Konvokesyen UMS kali ke-25.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Seni Visual dengan Kepujian, Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTIF), UMS itu kehilangan ibu akibat kanser payudara dan bapa yang dijangkiti Covid-19 masing-masing pada Oktober 2020 dan Ogos 2021.

Menjalani kehidupan sebagai pelajar yatim piatu pada mulanya agak sukar bagi Phil Ryan telah menyebabkan beliau berasa sendirian serta kehilangan tempat untuk berkongsi perasaan.

“Sejujurnya, hari ini saya tidak berasa sedih tetapi rasa sedikit kosong kerana tiada kedua ibu bapa di sini. Tapi saya reda dan bersyukur kerana ibu saudara dan adik-adik saya hadir bersama dengan saya di sini.

“Benda yang kita boleh buat dalam hidup adalah untuk tidak memandang ke belakang tetapi mengambil iktibar daripada setiap kejadian yang berlaku.

“Saya tahu saya sudah buat mereka (kedua ibu bapa) berasa bangga. Saya percaya mereka memerhati saya dalam setiap perjalanan saya,” ujarnya tenang.

Anak sulung daripada empat orang adik-beradik ini juga menyatakan bahawa beliau tidak berputus asa untuk meneruskan pengajian kerana beliau percaya bahawa itu adalah hasrat kedua-dua mendiang ibu bapanya.

“Saya sendiri juga mempunyai impian yang ingin dicapai dan saya tidak akan putus asa begitu sahaja. Hidup ini saya kena teruskan.

“Dengan ketiadaan ibu bapa, saya gunakan impian tersebut untuk menolak saya ke hadapan, saya tidak boleh putus asa,” tambahnya.

Beliau berhasrat membuka sebuah syarikat produksi filem jika diizinkan Tuhan berikutan minatnya yang mendalam terhadap dunia perfileman sejak dari kecil lagi.

Sementara itu, ibu saudaranya, Dorris Cayongcong berkata sejak menjaga Ryan dan adik-adiknya, beliau melihat Phil Ryan sebagai seorang yang berdikari dan tidak ingin menyusahkan orang lain.

“Kalau dia ada masalah, dia selalu mendiamkan diri dan cuba untuk menyelesaikan masalah itu sendiri. Sejak dia sudah bekerja, dia selalu balik lewat. Kadang-kadang saya risau.

“Saya bangga dengan pencapaian dia. Saya bawa adik-adik dia hadir hari ini supaya dapat menyuntik semangat mereka. Saya juga akan galakkan mereka untuk terus belajar dan menyambung pengajian.

“Selain Ryan, adik keduanya sanggup memilih untuk tidak menghabiskan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) demi menjaga orang tua mereka di rumah sepeninggalan Ryan ke UMS,” tambahnya.

Ryan merupakan salah seorang daripada 4,236 graduan UMS yang menerima ijazah sempena majlis konvokesyen yang berlangsung dari Isnin lepas hingga hari ini.