Pemilik syarikat didenda RM45,000 di Mahkamah Tawau kemuka dokumen palsu Program Insentif Pengambilan Pekerja

TAWAU : Seorang pemilik syarikat logistik dikenakan denda sebanyak RM45,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Tawau di sini semalam selepas mengaku bersalah mengemukakan dokumen palsu, tiga tahun lepas.

Hakim, Jason Juga menjatuhkan hukuman itu terhadap Dayang @ Jessie Ambukon, 50, semalam selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif yang dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang merupakan pemilik JR Samudera Logistic Sdn Bhd telah mengemukakan dokumen palsu iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja bagi tujuan memohon insentif Penjana Kerjaya 2.0.

Kesalahan tersebut direkodkan dilakukan tertuduh pada 15 Mac 2021 di Unit Sistem Insuran Pekerjaan (SIP) Perkeso Negeri Sabah di Tawau.

Kes tersebut didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama.

Sementara itu, satu lagi pertuduhan melibatkan tertuduh iaitu kes di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 telah digugurkan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Dzulkarnain Rousan Hasbi, manakala tertuduh diwakili oleh peguam dari Nabila & Co.