Christina cadang Kerajaan Negeri ambil alih pengurusan KkIA

KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew mencadangkan Kerajaan Negeri melihat kemungkinan mengambil alih pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) memandangkan keadaan semasanya.

Beliau berkata cadangan pengambilalihan pengurusan oleh syarikat milik kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan serta kemudahan mesra pengguna di KKIA adalah mendesak.

“Perubahan ini hanya boleh dilakukan melalui pembekal perkhidmatan pengurusan Lapangan Terbang yang berreputasi.Sabah telah menunggu terlalu lama untuk penambahbaikan dibuat terhadap KKIA tetapi tidak berjaya.

“KKIA adalah lapangan terbang kedua terbesar di negara ini. Mempunyai lapangan terbang antarabangsa dengan kemudahan yang buruk adalah tidak boleh diterima. Amat memalukan apabila beribu-ribu pelancong tiba di pantai kita hanya disambut dengan perkhidmatan atau kemudahan yang tidak mencukupi,” katanya menerusi satu kenyataan.

Christina berkata Sabah adalah salah satu destinasi kegemaran pelancong domestik dan antarabangsa di rantau ini.

“Kami tidak sabar lagi kerana lapangan terbang itu tidak lama lagi akan mencapai kapasiti maksimumnya pada kadar semasa pertumbuhan pelancongan kami. KKIA mencapai kapasiti maksimum sembilan juta penumpang pada 2019

“Oleh itu, kemudahan sedia ada bukan sahaja tidak mencukupi malah jauh dari memuaskan, justeru memerlukan kerja-kerja baik pulih segera,” katanya.

Beliau berkata permintaan berulang daripada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) untuk kerja-kerja menaik taraf lapangan terbang masih belum dikendalikan dengan betul.