PH Sabah sedia bekerjasama kepada Sangkar Rasam selaku MPN Sabah yang baharu

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan  (PH) Sabah bersedia memberikan kerjasama kepada Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Sabah (MPN),  Datuk Sangkar Rasam bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU15).

Setiausaha PH Sabah, Mustapha Sakmud, berkata pengumuman ini dilakukan sendiri Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam siri lawatan singkat kelmarin.

Katanya, pelantikkan ini dibuat secara sebulat suara selepas sesi konsultasi bersama Presiden PKR membabitkan semua Ketua Cabang yang hadir.

“Pelbagai cadangan dikemukakan termasuk untuk mengekalkan Datuk Christina Liew sebagai Pengerusi PH Sabah.

“Presiden PKR selaku Pengerusi PH Pakatan Pusat memberi jaminan untuk mengekalkan Christina Liew sebagai Pengerusi PH Sabah bagi  mengetuai jentera Pilihanraya PH bagi menghadapi PRU15 bakal diadakan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Mustapha berkata, Anwar juga menekankan Pengerusi PH perlu dikekalkan berikutan tidak mahu proses rundingan kerusi serta pemantapan jentera PH terjejas menjelang PRU15.

“Kita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Sangkar Rasam selaku Ketua Cabang Keningau dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Sabah,” katanya.

Menurutnya, gandingan ini dapat memantapkan lagi jentera PH Sabah bersama parti komponen DAP, UPKO dan Amanah bagi memastikan kemenangan besar  dalam PRU15 akan datang