KOTA KINABALU: Ezinfaq bercadang memperluaskan program menyalurkan ‘Sumbangan Bakul Makanan Jumaat’ di beberapa bandar utama di negeri ini.
Penaungnya, Arsidi Maidi, berkata ketika ini sumbangan bakul makanan hanya terhad membabitkan daerah Sepanggar dan Kota Kinabalu.
Katanya, ini berdasarkan faktor kewangan yang terhad menyebabkan program ini hanya dilakukan di sekitar ibu negeri.
“Kita sasarkan sumbangan ini diperluaskan kepada mereka yang kurang berkemampuan bagi menampung kehidupan seharian mereka.
“Jika Ezinfaq mendapat sambutan dalam kalangan orang ramai, kita akan perluaskan ke beberapa bandar termasuk Kudat, Keningau, Sandakan Dan Tawau.
“Kita mengalu-alukan penglibatan orang ramai untuk menyalurkan sumbangan berbentuk kewangan atau barangan keperluan harian bagi membolehkan lebih ramai mereka kurang berkemampuan memperolehi sumbangan bakul makanan ini,” katanya kepada Sabahnewstoday di sini semalam.
Arsidi berkata, idea serta cadangan pemberian bakul makanan ini dilakukan ketika berlakunya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pendemik COVID-19 lalu.
“Sumbangan Ezinfaq tidak terhad kepada bakul makanan malah diperluaskan memberi makanan kepada golongan gelandangan serta program membaiki masjid dan surau di negeri ini,” katanya.
Orang ramai yang berminat menyertai program ini boleh menyalurkan sumbangan dilaman www.ezinfaq.com atau akaun ezinfaq 560072592128 (maybank).