KOTA KINABALU: Bekas pemimpin Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Peter Anthony mengumumkan penubuhan parti baharu, Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) sebagai platform untuk meneruskan perjuangan politiknya bersama beberapa bekas pemimpin WARISAN yang lain.
Ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, beliau memaklumkan, penubuhan parti berkenaan sudah diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) pada 18 Februari lalu.
“Kita akan buat membuat pelancaran secara rasmi parti ini pada 13 Mac depan. Selepas itu, kita turut merancang menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang kini menerajui kerajaan negeri apabila gabungan berkenaan didaftarkan secara rasmi kelak,” katanya dalam laporan Berita Harian hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim yang dilantik sebagai Timbalan Presiden KDM dan Setiausaha Agung, Dr Gaim @ James Lunkapis.