ARAU: Semua masjid di seluruh Perlis akan mula solat berjemaah dengan merapatkan saf, berkuat kuasa solat Subuh pada Sabtu ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, keputusan itu mendapat limpah perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail setelah meneliti perkembangan semasa COVID-19 di negeri ini.
“Selain itu, peratusan tinggi vaksinasi lengkap dan peningkatan dos penggalak yang mencapai kadar 16.9 peratus atau 30,575 penerima berdasarkan maklumat terkini pada 2 Januari lalu dan didapati keadaan penularan wabak di Perlis berada dalam keadaan terkawal.
“Sehubungan itu, baginda mempertimbang dengan penuh hikmah dan teliti serta menilai dengan penuh bijaksana dan berhati-hati dalam menjalankan tanggungjawab Raja Pemerintah dan Ketua Agama Negeri.
“Sukacita dimaklumkan, kebenaran bersyarat amalan merapatkan saf solat berjemaah di masjid seluruh Perlis, berkuat kuasa pada Subuh 8 Januari depan, iaitu Sabtu sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
“Kebenaran ini adalah kepada semua masjid di seluruh Perlis sahaja, manakala surau atau tempat solat umum atau awam kekal tidak dibuka (solat berjemaah merapatkan saf).