KUALA LUMPUR: Parti Muda mendesak kes rasuah yang didakwa membabitkan Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki disiasat sebuah badan bebas yang dikawal selia di bawah Parlimen demi menjaga nama baik agensi itu.
Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA, berkata kenyataan berkenaan penjelasan isu rasuah membabitkan Azam Baki yang dikeluarkan oleh Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPPR) amatlah mengecewakan.
“Penjelasan yang diberi jelas bertentangan dengan Pekeliling Perkhidmatan bagi pemilikan dan pengisytiharan harta oleh penjawat awam serta SICDA (Securities Industries Depository Act),” kata kenyataan itu.
Selain itu, kenyataan berhubung isu rasuah berkenaan tidak akan membantu memelihara integriti institusi dan lebih buruk lagi kepercayaan orang awam terhadap SPRM yang dilihat sebagai lambang pencegahan rasuah akan terus terhakis.
“Parlimen Malaysia perlu mengawal selia badan bebas yang menyiasat isu rasuah berkenaan dan Azam Baki harus ‘berehat’ agar proses siasatan dapat dijalankan dengan telus,” kata kenyataan itu.