KINABATANGAN: Kerajaan memperuntukkan sekurang-kurangnya RM250,000 untuk membangunkan infrastruktur ‘Dataran Tamu Sukau’ Kinabatangan di daerah ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin berkata, dataran serta gerai disekitarnya dikenal pasti berpotensi untuk dibangunkan sebagai pusat tumpuan pelancong sekali gus meningkatkan ekonomi masyarakat setempat.
“Pihak KePKAS bersama Majlis Daerah Kinabatangan kini dalam perancangan untuk menaiktaraf serta mewujudkan prasarana kawasan serta fasiliti sedia ada.
“Langkah ini penting bagai mewujudkan perubahan kawasan setempat dengan memberi peluang masyarakat setempat terlibat dalam dalam meningkat ekonomi mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja di Dataran Tamu Sukau di sini hari ini.
Dataran ini sering menjadi tumpuan bagi penganjuran juga adalah pelbagai program kebudayaan antaranya Pesta Damas anjuran Persatuan Bangsa Sungai Sabah (SABAS).
“Sebelum negara dilanda pandemik COVID-19 acara kebudayaan itu berjaya menarik bukan sahaja pelancong tempatan malah juga dari luar negara khususnya daripada negara Eropah untuk datang ke Sukau,” katanya.
Sukau yang terletak kira-kira 130 kilometer dari Sandakan antara lokasi yang terkenal dengan pelbagai jenis hidupan liar yang boleh dilihat di habitat semulajadinya pada jarak dekat antaranya gajah, monyet Proboscis dan banyak lagi.
Dalam pada itu, KePKAS turut bercadang untuk menjadikan tempat itu sebagai salah satu destinasi persinggahan pelancongan berkonsepkan ikonik seni yang menawarkan produk berteraskan seni, kraf dan warisan masyarakat tempatan.