KOTA KINABALU: Kakitangan awam disaran agar sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, Kakitangan perkhidmatan awam adalah aset penting dalam sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat sekaligus menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara.
Katanya, oleh itu penting bagi kakitangan awam memiliki ilmu pengetahuan serta nilai yang positif dalam kalangan mereka.
“Kakitangan perkhidmatan awam yang cemerlang dalam semua aspek akan menjadi pendorong kepada kejayaan sektor awam di Sabah.
“Rakyat ketika ini sangat menaruh harapan tinggi kepada kakitangan awam terhadap sistem penyampaian serta prestasi sektor awam di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Anugerah Inovasi Sektor Awam di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini hari ini.
Hajiji berkata, untuk mencapai ke arah itu semua ketua jabatan khususnya dalam perkhidmatan awam negeri disaran menubuhkan unit inovasi secara proaktif di jabatan masing-masing sebagai langkah penjanaan inovasi dan idea baharu.
Dalam majlis itu, Hajiji turut melancarkan Portal Inovasi Perkhidmatan Awam (PIPA) bagi mempromosikan agenda inovasi perkhidmatan awam.
“PIPA adalah satu contoh inisiatif yang dibangunkan oleh Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran) yang berperanan memudahkan perkongsian maklumat di samping mempamerkan bakat inovatif dalam kalangan penjawat awam,” katanya.
Pada majlis itu, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS) memenangi Anugerah Khas Inovasi Ketua Menteri untuk projek ‘Sabah Trace Contact Tracing’ dengan membawa pulang piala dan wang tunai RM30,000.
SabahNewstoday