KOTA KINABALU (Bernama): Polis Sabah menahan 115 individu termasuk 25 wanita dipercayai terlibat dalam aktiviti judi termasuk ‘pai kaw’, mahjung, daun terup dan sabung ayam serta merampas peralatan judi yang dianggarkan bernilai RM117,674 dalam operasi Op Limau yang berakhir semalam (14 Feb).
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata semua individu yang ditahan itu berumur antara 20 dan 80 tahun dalam 18 serbuan yang dijalankan seluruh negeri ini dalam operasi yang bermula sejak 1 Feb lalu.
“Mereka juga turut dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) (mengekang COVID-19) yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Hazani berkata dalam aktiviti perjudian sabung ayam itu juga, polis telah merampas wang tunai sebanyak RM1,260 melalui enam serbuan yang telah dijalankan.
Beliau berkata pihak polis akan terus meningkatkan risikan dan pengumpulan maklumat bagi kes-kes jenayah sama ada perjudian, pusat hiburan dan apa juga bentuk pelanggaran SOP yang sedang berkuat kuasa ketika ini.
“Polis juga turut mengalu-alukan orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan jenayah di balai polis berdekatan atau Bilik Gerakan IPK Sabah di talian 088-318555,” katanya.
SabahNewsToday