KUALA LUMPUR: Perjuangan UMNO untuk membela nasib bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini dipenjarakan tidak pernah terhenti.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan biarpun ada yang mempertikaikan ikrar afidavit berhubung Titah Adendum untuk membenarkan tahanan di rumah ke atas bekas Presiden UMNO itu, parti tetap teguh untuk membela nasib beliau.
Katanya, seperti jelaskan semasa Taklimat Presiden kelmarin, perjuangan untuk membela Najib tidak pernah terhenti.
“Jika ada yang masih bertanyakan komitmen, pendirian parti tetap teguh. Biar pun ada yang mempertikaikan ikrar afidavit berhubung Titah Adendum, yang diikrarkan oleh saya dan Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengenai pelaksanaan baki hukuman Najib menerusi tahanan rumah, ia adalah bukti komitmen kita tidak pernah goyah.
“Insya-Allah, kita tidak akan berhenti selagi nasib ‘Bossku’ tidak mendapat pembelaan,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dilaporkan berkata PAU 2024 menerima sebanyak 72 usul menuntut keadilan dan pengampunan penuh buat Najib.
Katanya, selagi Najib terperangkap di sebalik tirai besi, suara dan ikhtiar parti berkenaan tidak akan pernah terhenti.
“Usul tertinggi daripada 72 bahagian adalah untuk kita terus menuntut keadilan dan pengampunan penuh kepada ‘Bossku’ (Najib).