KOTA KINABALU : Majlis Tenaga Sabah (MTS) mesyuarat keduanya meluluskan beberapa projek kritikal untuk pembangunan penjanaan berjumlah kapasiti 700 Megawatt ke arah memulihkan Sistem Grid negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, antara projek utama termasuk Projek Hidro Elektrik dan Loji Janakuasa Gas Asli bagi memastikan keterjaminan bekalan elektrik yang mencukupi pada masa sekarang dan akan datang.
Katanya, mesyuarat juga mendengar maklumbalas daripada Energy Commission of Sabah (ECoS) berkenaaan perkembangan projek penjanaan penting lain diambil tindakan susulan keputusan dibuat pada mesyuarat MTS pertama bulan Jun lalu.
“Ini termasuklah keputusan pelaksanaan projek sumber tenaga masa hadapan iaitu potensi dan kaedah pembangunan hidro elektrik secara meluas di Sabah.
“Ini menerusi kajian Sabah Hydro Development Masterplan yang sedang dilaksanakan ECoS, serta kaedah pembangunan loji Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC) melalui konsep Projek Perintis Permulaan,” katanya di sini semalam.
Hajiji berkata, beliau berharap segala usaha dilaksanakan akan memberikan manfaat dalam merealisasikan pencapaian tenaga mampu milik serta mampan untuk masa kini dan akan datang.
“Ini selari dengan Pelan Induk Tenaga – Sabah Energy Roadmap and Masterplan 2040 (SE-RAMP 2040) untuk kemajuan Sabah dan memberi manafaat kepada rakyat negeri ini.
“MTS ditubuhkan berikutan penyerahan kuasa kawal selia tenaga daripada Kerajaan Persekutuan kepada Sabah dan untuk menggantikan Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) Sabah,” jelas Hajiji.
