TAMBUNAN: Sambutan luar biasa daripada masyarakat terhadap Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tambunan didorong komitmen parti yang sentiasa cakna terhadap gerak kerja membantu rakyat.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tambunan, Datuk Victor P. Paut berkata, program seperti ini juga berjaya memperkukuh aliran hubungan masyarakat pelbagai peringkat ke arah jalinan yang harmoni dan semangat perpaduan khususnya di kalangan penduduk setempat.
“Komitmen tinggi kepimpinan parti membela masyarakat tanpa mengira status, kedudukan, jantina, golongan tua, generasi muda turut mendorong mereka menyertai Gagasan Rakyat,” katanya.
“Sebagai contoh, hari ini Gagasan Rakyat Tambunan telah menerima kemasukan seramai 750 ahli baru sama ada daripada cawangan-cawangan sedia ada mahupun cawangan baru yang ditubuhkan,” katanya.
Cawangan-cawangan berkenaan ialah Pupuloton, Solibog, Lalapakon, Katagayan, Lubong, Nambayan, Punonoburan dan Munsok Tengah.
“Dengan tambahan jumlah itu, keahlian Gagasan Rakyat Tambunan kini mencecah seramai 8,000 orang,” katanya.
Victor juga memaklumkan bahawa hampir setiap hari pejabat bahagian parti itu tidak putus-putus menerima keahlian baru, sama ada secara individu mahupun berkumpulan. Mereka datang sendiri dengan suka rela ke pejabat kami untuk mengisi borang keahlian parti.
“Boleh dikatakan pejabat Gagasan Rakyat Tambunan tidak pernah sunyi di datangi rakyat Tambunan yang ingin menjadi ahli parti,” katanya.
Ketika ditanya mengenai sambutan luar biasa rakyat Tambunan terhadap parti itu, Victor berkata, program dan gerak kerja yang diperhebatkan parti telah dinilai sendiri oleh rakyat.
“Bagi saya, rakyatlah yang menilai gerak kerja sesebuah parti, dan saya percaya mereka nampak sendiri apa yang kami telah laksanakan dalam membela rakyat di Tambunan,” katanya.
