KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 yang ditangguhkan akibat banjir di beberapa negeri baru-baru ini, akan diadakan pada 16 hingga 19 Mac ini.
Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan berkata, tarikh itu ditetapkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang dipengerusikan Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi malam tadi.
Katanya, perhimpunan itu akan dimulakan dengan perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno oleh Timbalan Presidennya, Mohamad Hasan pada 16 Mac, manakala perasmian perhimpunan agung badan induk pada 18 Mac.
Beliau berkata, semua 14 perwakilan setiap bahagian dijemput menghadiri PAU 2021 kerana ia tidak akan diadakan secara hibrid kali ini.
“SOP tetap akan dipenuhi dari segi penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, penggunaan aplikasi MySejahtera, sanitizer dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan.
Pada 25 Dis lalu, Ahmad dilaporkan berkata, PAU 2021 yang dijadualkan berlangsung mulai 13 hingga 15 Jan ini ditangguhkan susulan bencana banjir.
Sementara itu, Ahmad berkata, MKT mengucapkan terima kasih kepada ahli dan pimpinan Umno di semua peringkat yang turut serta dalam membantu mangsa banjir baru-baru ini.
Dalam pada itu, katanya, MKT memutuskan semua kesiapsiagaan dibuat bagi memastikan perjalanan parti secara lancar dan pelbagai program bagi menghadapi dasar Undi18 yang dikuatkuasakan mulai 15 Dis lalu.