KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi menegaskan untuk mengekalkan sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata mesyuarat yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu turut menegaskan keperluan memperkukuh sokongan kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
Katanya, MKT juga mengarahkan jentera parti bersiap siaga untuk menyantuni kira-kira 5.8 juta pengundi berusia 18 tahun dan pengundi baharu, menjelang pilihan raya umum akan datang.
“MKT UMNO menegaskan bahawa sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri adalah sentiasa kekal, malah perlu terus dimantapkan.
“MKT telah memutuskan agar segala kesiapsiagaan dibuat bagi memastikan perjalanan parti berjalan dengan baik dalam membuat pelbagai program bagi menghadapi pengundi 18 tahun dan pengundi baharu yang jumlahnya sekitar 5.8 juta orang,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Terdahulu, Ahmad memaklumkan, mesyuarat MKT UMNO malam tadi antara lain menetapkan tarikh baharu Perhimpunan Agung UMNO 2021 pada 16 hingga 19 Mac depan, dan dilaksanakan secara bersemuka sepenuhnya.
Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, mesyuarat MKT UMNO menegaskan mengenai keperluan memperbaiki pengurusan banjir, khususnya di Selangor.
“Sidang khas Dewan Rakyat pada 20 Januari depan juga diharapkan dapat mengumpulkan cadangan bernas agar Malaysia menjadi negara yang terhindar daripada banjir besar pada masa akan datang,” katanya, memaklumkan mesyuarat itu mengalu-alukan bantuan banjir oleh kerajaan.