25 C
Kota Kinabalu
Saturday, January 22, 2022

Pekerja ladang cetus kluster baharu di Kinabatangan – Masidi

KOTA KINABALU: Seorang pekerja ladang kelapa sawit warga Indonesia mencetuskan kluster baharu COVID-19 berkaitan tempat kerja di Kinabatangan yang turut menyebabkan jumlah kes di daerah itu dan Sabah keseluruhannya, melonjak, semalam.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata Kluster Sungai Trayon itu merekodkan 25 kes baharu menjadikannya penyumbang tertinggi kes di Kinabatangan.

Katanya, hanya satu jangkitan bukan berpunca daripada kluster berkenaan dilaporkan di Kinabatangan menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di daerah itu sebanyak 26 kes semalam berbanding hanya satu kes kelmarin.

“Kluster baharu ini membabitkan seorang pekerja ladang kelapa sawit warga asing. Saringan terhadap 382 pekerja dan kontak rapat mendapati 24 orang lagi dijangkiti COVID-19 setakat ini,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Kes indeks lelaki berumur 48 tahun itu yang bekerja sebagai penuai sawit dikesan positif COVID-19 melalui ujian saringan RTK-Ag di klinik swasta di Sandakan pada 9 Januari lalu, selepas bergejala pada hari sebelumnya.

Masidi berkata, secara keseluruhan jumlah kes harian COVID-19 di Sabah semalam bertambah 27 kes kepada 280 kes berbanding 253 kes yang dilaporkan kelmarin.

Masidi berkata, selain Kinabatangan, beberapa lagi daerah dikesan mencatat jumlah kes baharu semalam, antaranya Ranau yang bertambah 22 kes kepada 33 kes dan Papar bertambah 11 kes kepada 20 kes.

Bagaimanapun, katanya daerah Tuaran mencatat penurunan kes dengan jumlah agak besar semalam iaitu sebanyak 18 kes kepada 11 kes berbanding 29 kes kelmarin.

Related Articles

Stay Connected

156,622FansLike
2,008FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
Iklan

Latest Articles