Pengumuman Mohamaddin Ketapi keluar Warisan sudah dijangka – Azhar

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Lahad Datu Datuk Mohamaddin Ketapi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama hari ini mengumumkan keluar Parti Warisan Sabah (Warisan), sudah dijangka sejak beberapa hari lepas.

Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan Sabah (Warisan), Azhar Matussin berkata, bukannya mudah untuk menjadi wakil rakyat yang jujur serta setia kepada mandat rakyat sekali gus mengutamakan perjuangan memartabatkan bangsa Sabah.

Katanya, memilih jalan senang dengan membelakangkan mandat yang sudah diberikan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah tidak wajar diterima oleh semua pihak.

“Mohamaddin lari dari perjuangan meninggalkan rakan-rakan seperjuangan. Sekarang beliau bersekongkol dengan pihak yang dulu dikatakan tidak baik. Apa—apa pun rakyat tahu menilai bila tiba masanya nanti.

“Apa-apa pun kita ucapkan Selamat Maju Jaya kepada Datuk Mohamaddin Ketapi. Kami yang masih dalam Warisan tetap akan bersama-sama kepimpinan Warisan yang diterajui Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal,” katanya.

Beliau mengulas mengenai Ahli Parlimen Lahad Datu Datuk Mohamaddin Ketapi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama hari ini mengumumkan keluar Parti Warisan Sabah (Warisan).

Mohamaddin, 64, berkata beliau bertindak keluar parti bagi memberi tumpuan untuk memaju dan membangunkan Parlimen Lahad Datu serta DUN Segama, yang menurutnya tiada kemajuan sampai ke kawasan tersebut.

Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Darau berkata, setakat ini beliau yakin rakan-rakan Adun lain tetap fokus membantu rakyat yang terkesan dengan penularan COVID-19 sekali gus berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat yang diwakili.

“Kita tetap fokus membantu rakyat yang sangat memerlukan perkhidmatan wakil rakyat di kawasan mereka,” katanya.

Azhar berkata, tidak perlu lompat parti untuk fokus berkhidmat di kawasan diwakili berikutan kerajaan sedia ada akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pembangunan di kawasan diwakili.

“Kita tidak lari dengan pendirian asal selepas dilantik menjadi Adun untuk tetap dengan pendirian kekal bersama Warisan,” katanya.