Pengerusi Sri Pelancongan dilantik pantau pembangunan produk pelancongan Tawau dan Semporna

KOTA KINABALU: Pengerusi Sri Pelancongan Sabah (SPS) Sdn Bhd Ken Pan Ying On dilantik sebagai Individu Bertanggungjawab (Person-in-Charge) bagi pembangunan produk pelancongan di Tawau dan Semporna.

Mengumumkan demikian pada mesyuarat berkaitan pelancongan dengan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan Sri Pelancongan Sabah (SPS) kelmarin, Menterinya Datuk Christina Liew berkata langkah itu adalah untuk mencapai pertumbuhan pelancongan yang seimbang di kedua-dua daerah.

“Ken akan bertanggungjawab merangka rancangan untuk menyebarkan faedah ekonomi pelancongan antara Tawau dan Semporna. Sekarang ini, terdapat tumpuan pelancong di Semporna, di mana terletaknya syurga menyelam Sipadan yang terkenal di dunia,” katanya.

Ke arah mengurangkan kesesakan di Semporna, Liew menekankan keperluan pembangunan infrastruktur pelancongan baharu di Tawau sebagai tarikan tambahan untuk menjadikan pelancong tinggal lebih lama di bandar pantai timur ini.

“Sebagai permulaan, terdapat rancangan untuk membina jeti di Tawau bagi memudahkan perjalanan bot sebagai pengangkutan alternatif kepada pelancong yang berhasrat membuat lawatan sehari dari Tawau ke Semporna.

“Kedua, kami menggalakkan pelabur membangunkan Taman Bukit Tawau sebagai kawasan tumpuan pelancong,” katanya.