SESB lapor polis jenayah curi elektrik di Kg Hidayat Tawau

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan jenayah mencuri bekalan elektrik atau membuat penyambungan haram.

Pengerusi SESB, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, terbaru pihaknya telah membuat laporan polis terhadap perbuatan jenayah tersebut yang didapati berleluasa selepas membuat tinjauan di Kampung Hidayat Batu 4 Jalan Apas Tawau.

“Saya bersama Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui dan Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir. Mohd Yaakob Jaafar telah mengadakan tinjauan di kampung ini pada Khamis.

“Asalnya, tinjauan yang disertai pemimpin tempatan termasuk ketua Kampung, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) serta pengurusan SESB bertujuan untuk melihat kesesuaian pelaksanaan  ‘Independent Power Distributor’ (IPD).

“Namun, ketika berada di lokasi, kami melihat sambungan haram secara terang-terangan hampir di setiap rumah. Kita mengambil serius akan perbuatan jenayah ini, dan sebuah laporan polis telah dibuat di balai polis Bombalai siang tadi,” katanya.

Madius berkata, penyambungan haram menyebabkan kerugian besar kepada SESB selain mengancam keselamatan orang awam.

“Akibat perbuatan mencuri di kampung ini, SESB kerugian RM183,156 sebulan. Pada masa yang sama, aktiviti jenayah boleh mengakibatkan risiko kebakaran dan renjatan elektrik kepada orang awam.

“Sehubungan itu laporan polis dibuat bertujuan penyiasatan dan pendakwaan di pihak Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan pihak polis.

“Saya juga memohon, orang ramai yang melihat perbuatan jenayah seumpama ini walau di mana sekali pun untuk tampil membuat laporan polis.

“Perbuatan mencuri elektrik antara faktor penyebab gangguan bekalan tenaga di Sabah. Mari kita sama-sama membanteras jenayah ini bersama-sama,” jelas Madius.

Untuk rekod, walaupun baru memasuki bulan ke-8 sebagai Pengerusi SESB, Madius telah mengadakan pendekatan mesra pengguna dengan mengambil cadangan dan pandangan melalui pelbagai program dialog dan sesi bersama pemimpin masyarakat dan wakil-wakil rakyat.

Beliau juga kerap turun padang untuk mengalami dan melihat sendiri kepayahan penduduk di kawasan-kawasan yang menghadapi bekalan tenaga kritikal.

Selain itu, Ahli Parlimen Tuaran ini juga komited untuk menyelesaikan masalah bekalan elektrik di Sabah dengan memupuk budaya kerja 1SESB 1Tujuan.