Jabatan Imigresen Sabah hantar pulang 292 PATI warga Indonesia ke negara asal

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Sabah menghantar pulang seramai 292 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Tawau, kelmarin.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, PATI yang ditahan di Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar, Sandakan dan Tawau itu dipindahkan menggunakan pengangkutan laut Feri Purnama Express dan Francis Express, ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.

Katanya, pemindahan membabitkan 183 lelaki, 90 wanita dan 18 kanak-kanak berusia bawah 12 tahun serta seorang bayi.

“Ini adalah program pemindahan siri 4 untuk kategori usir melalui laut bagi tahun 2024 ke negara asal masing-masing.

“Semua PATI yang ditahan di Depot Imigresen ini melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

SH Sitti Saleha berkata, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.

Katanya, Jabatan Imigresen Sabah akan terus melakukan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.

“Operasi pemindahan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua depot imigresen di negeri ini,” katanya.

Menurutnya Semua agensi penguatkuasaan di Sabah juga akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.