Penduduk terjejas fenomena air pasang besar terima bantuan dan wang ihsan – Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengumumkan bantuan tambahan RM20,000 kepada tiga Ketua Isi Rumah (KIR) untuk membina rumah baharu selepas terjejas dalam fenomena air pasang besar di Kampung Tanjung Aru Baru disember tahun lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dalam masa sama 33 lagi KIR rumah mereka ranap sebahagian besar akan menerima bantuan RM10,000.

Katanya, kerajaan sangat perihatin terhadap masalah yang dihadapi masyarakat yang terlibat sekali gus berusaha membantu meringankan beban mereka.

“Kita berharap dengan bantuan serta wang Ihsan itu kerajaan dapat membantu mereka untuk mengurangkan sedikit beban kepada mangsa terlibat.

“Kita akan pastikan bantuan ini dapat diperoleh dalam tempoh terdekat bagi memastikan rumah mereka dapat didirikan semula,” katanya di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama Hajiji menyerahkan Bantuan Wang Ihsan Bencana Alam RM1,000 kepada 36 Ketua Isi Rumah (KIR) Kampung Tanjung Aru Baru yang layak di Balai Raya kampung itu, hari ini.